Rabu, Agustus 12, 2009

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA 1430 H

Sehubungan akan datangnya bulan suci Ramadhon saya ingin meminta maaf kepada semua yang telah berkunjung di blog saya. Kalau – kalau ada kata-kata saya yang telah melukai hati saudara/i. Dan juga saya ingin memberikan sedikit penjelasan yang berkaitan dengan Ibadah puasa. Semoga Penjelasan ini bisa bermamfaat buat kita bersama khususnya buat saya pribadi.

Puasa dari segi bahasa ertinya "menahan" dan "berhenti," manakala pengertian dari hukum syariat ialah menahan diri dari makan, minum, dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari, dan diawali dengan niat. Ibadat berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah-satu dari rukun Islam dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.
Keutamaan berpuasa
Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah untuk mencapai ketakwaan kepada Allah.
Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi:
"Semua amalan Bani Adam untuk dirinya, kecuali puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjaran atasnya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim.)
Adalah keistimewaan puasa berbanding ibadat-ibadat lain ialah kerana ianya merupakan rahsia antara Allah dan pelakunya sendiri, bukan kerana takut atau segan pada sesama manusia, justeru hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui insan-insan yang menyempurnakan puasa dengan sesempurnanya.
Firmah Allah lagi:
"Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar." (Al-Ahzab, 33:35).
Sabda Rasulullah SAW:
"Tidaklah ada seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya dengan puasanya itu dari api neraka (sepanjang perjalanan) tujuh puluh tahun." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Nabi lagi:
"Puasa itu perisai. Jika salah seorang dari kalian berpuasa pada satu hari, maka janganlah berkata-kata kotor dan keji. Jika ada orang yang mencelanya dan menyakitinya, hendaklah dia berkata, 'Aku sedang berpuasa.' Demi Zat Yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada wangi misik. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kebahagiaan yang membahagiakannya, yaitu jika berbuka, dia berbahagia, dan jika berjumpa dengan Rabnya dia berbahagia dengan puasanya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalil puasa:
Firman Allah Ta'ala:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain." (Al-Baqarah 183-185).
Rasulullah pula bersabda:
"Islam dibangun di atas lima perkara, iaitu: dua kalimat shahadah, menegakkan solat, menunaikan zakat, haji ke Baitullah, dan puasa bulan Ramadhan." (Riwayat Bukhari).
Rukun puasa
Rukun puasa ada dua:
1) Menahan diri dari segala hal yang membatalkan puasa, semenjak terbit fajar hingga terbenam matahari.
2) Niat di malam hari
Nota: Berniat puasa di malam hari itu hanyalah untuk puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa nazar. Manakala untuk puasa sunat pula, diperbolehkan berniat sebelum tergelincir matahari di langit, asalkan belum lagi makan atau minum atau perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.
Sabda Rasulullah: "Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiada baginya puasa itu." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Khuzaimah, dan al-Baihaqy dari Hafshah binti Umar).
Oleh itu tidak sah puasa sekiranya seseorang itu tidak berniat, ataupun syak/was-was dia tidak berniat puasa pada malam hari. Sekiranya ia syak tidak berniat hanya sesudah berbuka, puasanya dikira sah.
Mengikut mazhab Maliki adalah boleh berniat pada malam pertama dengan berniat untuk puasa sebulan bulan Ramadhan; dan harus bagi orang-orang yang bermazhab Shafi'e bertaqlid/mengikuti kepada mazhab Maliki berniat pada malam pertama untuk sebulan Ramadhan.
Puasa ada empat jenis:
1) Puasa wajib pada bulan Ramadhan.
2) Puasa kaffarat/denda qada', akibat pelanggaran.
3) Puasa sunat.
4) Puasa nazar (hukumnya wajib jika nazarnya itu terkabul).
Syarat Wajib Puasa
1) Islam
1) Mukhallaf iaitu telah baligh dan berakal sihat; kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa.
2) Kuat dan berupaya, tidak diwajibkan berpuasa atas orang yang sakit dan lemah.
3) Mukim, iaitu tidak bermusafir.
Syarat Sah Puasa
1) Suci dari haid atau nifas, bagi kaum wanita.
2) Berpuasa dengan yakin di waktu yang ditetapkan, iaitu jelas masuk bulan Ramadhan dan jelas masuk waktu fajar dan waktu tenggelam matahari.
Perkara-perkara membatalkan puasa
1) Makan dan minum dengan sengaja (tidak mengapa sekiranya terlupa)
2) Muntah dengan sengaja
3) Datang haid atau nifas, bagi kaum wanita
4) Merokok, atau menghisap asap kayu.
5) Hilang akal atau gila, walaupun sekejap. (adalah sah puasa orang yang pitam asalkan ia tidak pitam sepanjang hari berpuasa.)
6) Bersetubuh - Adapun bercumbuan (ciuman atau pelukan) itu tidak membatalkan puasa namun ianya dimakruhkan, khususnya pada meraka yang tidak mampu menahan nafsu, kerana dikhuatiri akan menerbitkan syahwat. Sekiranya terkeluar air mani atau air syahwat, maka batallah puasa. Berkhayal sehigga terkeluar air mani juga membatalkan puasa. Mereka yang sengaja bersetubuh di siang hari Ramadhan adalah diwajibkan kaffarah (pada suami sahaja)dengan memerdekakan seorang hamba yang sempurna. Sekiranya tidak mampu maka diwajibkan puasa dua bulan berturut-turut di luar Ramadhan, atau memberi beras atau bijirin kepada enam puluh orang miskin sebanyak satu mud (kira-kira 3/4kg) setiap seorang.
Tidak batal puasa sekiranya masih belum mandi hadas sesudah masuknya imsak, namun begitu harus diperingatkan bahawa ia perlu mandi wajib sebelum akhirnya fajar bagi menyempurnakan solat Subuh.
Antara perkara-perkara yang diperbolehkan semasa berpuasa ialah:
1) Bersiwak atau bersugi (menggosok gigi) - Imam Shafi'e menghukumkan makruh bersiwak sesudah tergelincir matahari.
2) Menerima suntikan ubat
3) Memasukkan air ke hidung ketika bersuci
4) Berbekam
5) Mencicipi/merasa makanan, atau melembutkan makanan untuk anak kecil, asalkan tidak masuk ke tenggorok
6) Berkumur
7) Menitiskan ubat mata
8) Menyiram kepala dengan air dingin, mandi, atau berenang, selagi air tidak ditelan dengan sengaja.
9) Menelan ludah yang tidak bercampur sesuatu.
10) Menghirupi bau makanan.
11) Menerima derma darah.
12) Mengemam ais di dalam mulut, sekiranya tidak ditelan atau tidak diteguk airnya.
13) Menggunakan inhaler bagi pesakit asthma.
Nota: memasukkan jari ke lubang hidung atau telinga tidak membatalkan puasa asalkan dengan tujuan untuk membersihkannya, namun sepertimana perkara-perkara yang diperbolehkan semasa berpuasa ia sewajarnya ditangguhkan sehingga tamat waktu puasa.
Pengecualian puasa wajib
Syarat-syarat dikecualikan berpuasa di bulan Ramadhan adalah seperti berikut:
1) Sakit - sama ada tidak berupaya untuk berpuasa justeru sakit, maka diwajibkan berbuka; atau berupaya tetapi puasa akan mendatangkan kesulitan atau kelambatan untuk sembuh, maka dianjurkan berbuka.
2) Musafir - mereka yang bermusafir pada jarak perjalanan melebihi 90 kilometer dipermudahkan beban agar tidak berpuasa Ramadan asalkan musafir itu atas tujuan ketaatan kepada Allah, sepertu mengerjakan haji dan seumpamanya. nota: adalah memilih untuk berpuasa itu lebih afdal, kerana kemudahan ini dianjurkan hanya bagi mengelakkan keletihan yang teramat, namun keputusan untuk berbuka atau berpuasa terserah kepada individu.
3) Orang yang sudah tua dan lemah.
4) Wanita yang hamil atau menyusui - sekiranya mengkhuatiri kesihatan janin atau bayi susuannya maka adalah dianjurkan berbuka; manakala wanita yang mengkhuatiri kesihatan dirinya sendiri jika berpuasa adalah diwajibkan berbuka.
Hikmah dan Keutamaan Bersahur
Sahur hukumnya sunat muakkad, iaitu ibadat sunat yang diutamakan. Dalam hadits Abu Sa'id al-Khudry bahwa Rasulullah bersabda, "Sahur adalah makanan berkat, maka jangan kalian tinggalkan walaupun salah seorang dari kalian hanya meneguk seteguk air, karena Allah dan para malaikat bersalawat atas orang-orang yang bersahur." (Riwayat Ibnu Abu Syaibah dan Ahmad).
Sabda Rasulullah lagi dalam hadits Abu Sa'id al-Khudriy: "Yang membezakan antara puasa kita (orang Islam) dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim).
Disunnahkan memperlambat sahur sampai mendekati subuh (fajar) sebagaimana yang dilakukan Rasulullah di dalam hadits Ibnu Abbas dari Zaid bin Tsabit, yang berkata: "Kami bersahur bersama Rasulullah , kemudian beliau pergi untuk solat." Aku (Ibnu Abbas) bertanya, "Berapa lama antara azan dan sahur?" Beliau menjawab, "Sekitar 50 ayat." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah menjelaskan bahawa fajar ada dua:
a. Fajar kazib (fajar awal) - dalam waktu ini belum boleh dilakukan solat subuh dan dibolehkan untuk makan dan minum bagi yang berpuasa.
b. Fazar sodiq (fajar yang kedua/subuh).
Dalab hadis Ibnu Abbas, Nabi bersabda: "Fajar itu ada dua. Adapun yang pertama, maka dibolehkan makan dan tidak boleh melakukan solat, sedang yang kedua, maka diharamkam makan dan dibolehkan solat." (Riwayat Ibnu Khuzaimah, al-Hakim, ad-Daruqutny, dan al-Baihaqy dengan sanad yang sahih.)
Adab Orang yang Berpuasa
Disunnahkan bagi orang yang berpuasa untuk beradab dengan adab-adab yang syar'ie, di antaranya:
1. Memperlambat sahur.
2. Mempercepat berbuka puasa.
3. Berdoa ketika berpuasa dan ketika berbuka .
4. Menahan diri dari perkara-perkara yang merosak (walaupun tidak membatalkan)puasa.
5. Bersiwak.
6. Berderma dan bersedekah
7. Bertadarus Alquran.
8. Bersungguh-sungguh dalam beribadah khususnya pada sepuluh hari terakhir.
Kesempurnaan puasa
Imam Al-Ghazali dalam karangannya Ihya-Ulumuddin menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa:
Pertama, menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa meninggalkan pandangan karena takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya.
Kedua menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Alquran. "Dua perkara merosakkan puasa," sabda Rasulullah SAW, "ialah mengumpat dan berbohong."
Ketiga, menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik, karena tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah SAW menjelaskan: Yang mengumpat dan yang mendengar, bersyarikat dalam dosa.
Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.
Kelima, tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perutnya penuh makanan.
Keenam, hatinya sentiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah.
Puasa Qada'
Mereka yang tertinggal puasa Ramadhan justeru sakit atau musafir atau sebab-sebab lain sama ada sengaja atau tidak, adalah diwajibkan berpuasa sebanyak hari-hari yang ditinggalkan itu.
Penggantian puasa itu diharuskanlah agar seberapa segera, namun tidak disyaratkan hari gantinya itu berturut-turut.
Puasa qada' itu syaratnya sama seperti puasa wajib di bulan Ramadhan; iaitu wajib berniat puasa sebelum masuk waktu imsak.
Hari-hari Haram Berpuasa:
1) Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal)
2) Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah)
3) Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah)
4) Hari Syak (30 Sya'aban)
5) Selepas 15 Sya'aban jika bukan puasa qada' atau nazar atau puasa hari yang biasanya berpuasa.
Puasa yang dimakruhkan pula ialah:
1) Puasa pada hari Arafah bagi mereka yang mengerjakan haji.
2) Puasa pada hari Sabtu sahaja.
3) Puasa pada hari Jumaat sahaja.
4) Puasa sunat sedangkan menangguh puasa qada'.
5) Puasa sepanjang tahun.
Puasa Sunat
Berikut ada hari-hari yang digalakkan berpuasa:
1. Puasa enam hari dalam bulan Syawal
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)
Adalah afdal jika berpuasa secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dengan tidak berturut-turut. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qada' Ramadhan.
2. Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)
Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Menerusi hadis daripada Abi Qatadah RA, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)
Dari Abi Qatadah RA juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Diriwayat oleh Muslim)
3. Puasa pada bulan Muharram
Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasullullah SAW yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)
Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
4. Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)
Daripada Abi Qatadah RA bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
5. Puasa hari Tasu'a (9 Muharram)
Ia disunatkan, walaupun Rasullullah s.a.w. tidak sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Nota: Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika dilakukan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan janganlah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)
6. Puasa bulan Sya'aban
Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: "Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda Rasullullah s.a.w.: "Bulan ini (bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat al-Nasai)
Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)
7. Puasa pada hari Isnin dan Khamis
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (ke hadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
8. Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat
Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (iaituntidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka" (Riwayat al-Tabrani)
Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
9. Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)
Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sahih)
10. Puasa tiga hari pada setiap bulan
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."
Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.
Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.
11. Puasa selang-seli
Hadis daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. "Maka berpuasalah puasa Nabi Daud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Fadhilat Sembahyang Tarawih:
Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang kelebihan sembahyang sunat tarawih pada bulan Ramadan:
Malam 1: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3: Berseru Malaikat di bawah 'Arasy supaya kami meneruskan sembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosamu.
Malam 4: Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
Malam 7: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi 'Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fi'raun dan Hamman.
Malam 8: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim 'Alaihissalam.
Malam 9: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Malam 10: Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan akhirat.
Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12: Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (dengan cahaya ibadatnya).
Malam 13: Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14: Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang tarawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15: Semua Malaikat yang menanggung 'Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampunkan.
Malam 16: Allah SWT tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam 17: Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam 18: Seru Malaikat: Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepadamu dan ibubapamu (yang masih hidup atau mati).
Malam 19: Allah SWT tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21: Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.
Malam 22: Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Mahsyar).
Malam 23: Allah SWT binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.
Malam 24: Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25: Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26: Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.
Malam 27: Allah kurniakan orang bertarawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28: Allah SWT kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.
Malam 29: Allah SWT kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.
Malam 30: Allah SWT beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: "Hai hambaKu: Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama 'Al-Kautsar"."
Hukum Qada, Kaffarah dan Fidyah
Orang yang tertinggal ibadat puasa Ramadhan diwajibkan qada' ke atasnya sebanyak hari-hari yang ditinggalkan.
Orang yang kehilangan akal atau gila tidak diwajibkan qada' puasa.
Puasa qada' boleh diniatkan serentak dengan puasa sunat yang lain, umpamanya puasa enam hari di bulan Syawal.
Adalah tidak boleh mengqada'kan puasa untuk orang lain selagi orang itu masih hidup.
Amalan fiqh Shafi'e dan Hanbali mewajibkan diganti puasa yang tertinggal dan dikenakan fidyah satu mud bijirin (kira-kira 3/4 kg) kepada satu orang miskin untuk setiap hari yang diyakini telah ditinggalkan. Fatwa Qardhawi pula menyatakan hanya mengqada' puasa sahaja tak perlu membayar kafarat namun jika membayar kafarat atau mengeluarkan fidyah adalah lebih baik.
Fidyah hendaklah berupa bijirin (beras, gandum) dan bukannya dengan duit, dan hendaklah diberikan kepada orang yang miskin sahaja (bukan, contohnya, kepada anak yatim.)
Fidyah boleh dibayar sekaligus, umpamanya, 10 cupak kepada 1 orang miskin, selain dari diberi 1 cupak seorang untuk 10 orang miskin.
Seseorang yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadhan kerana sakit yang berkekalan lalu mati selepasnya adalah tidak disyaratkan qada' dan fidyah ke atas warisnya.
Manakala orang yang tidak berpuasa kerana sakit, lalu kemudian sihat kembali, namun tidak sempat mengqada'kan puasanya, maka harus dan sah jika puasanya digantikan oleh waris. Si mati yang meninggalkan puasanya sebulan boleh diqada'kan puasanya oleh 30 orang selama satu hari.
Kaffarah atau denda adalah diwajibkan dengan sebab persetubuhan dengan sengaja di siang hari dalam bulan Ramadhan. Kaffarah atau denda bagi orang yang melanggar kehormatan bulan Ramadhan itu ialah dengan si suami memerdekakan hamba yang sempurna dan tanpa kecacatan; dan sekiranya si suami tidak berkuasa, maka wajiblah berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya ia masih tidak berkuasa juga, maka wajib memberi makanan enam puluh orang miskin satu mud bijirin seorang. Si isteri hanya wajib puasa qada' sahaja.
Antara puasa kaffarah yang lain ialah:
1. Membunuh manusia tanpa sengaja - Kalau pembunuh itu seorang lelaki, ia kenalah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya telah berpuasa dan mencuba tetapi tidak mampu, maka diharuskan memberi makan kepada 60 orang fakir miskin; menggantikan puasa dua bulan berturut-turut. Kalau pembunuh itu seorang wanita, maka ia perlu memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.
2. Menziharkan Isteri (Menyerupakan isteri dengan ibu suami) - umpamanya seorang suami berkata kepada isterinya, "Punggungmu seperti punggung ibuku." Kifarahnya ialah puasa dua bulan berturut-turut.
3 Melanggar sesuatu yang diharamkan semasa berihram - contohnya, memotong kuku. Kifarahnya ialah puasa tiga hari berturut-turut.
4. Merosakkan Sumpah - kifarahnya ialah puasa tiga hari berturut-turut.

BuyBlogReviews.com

0 komentar:

:)) :)] ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} ~x( :-t b-( :-L x( =))

Posting Komentar

SILAHKAN BERIKAN KOMENTAR UNTUK KEMAJUAN BLOG INI.
TERIMA KASIH..BLOG SAYA SUDAH MENJADI DO FOLLOW BAGI YANG MEMBERIKAN KOMENTAR AKAN DAPAT LINK BALIK SECARA OTOMATIS TERIMA KASIH

SILAHKAN DI ISI

Reunion.com,Social Networking,People Search,People Finder,Locating People,Email Search,Networking,Contact Networking,Lost Love,Address Search,People Community,Find People,Lost Family,Birth Parents,Stay in Touch,Classmates,Reunion,High School,School Friend